blog di taja oleh:

blog di taja oleh:
klik gambar

Atlet perlu IQ tinggi : Institut Sukan Negara


Kuala Lumpur: Sebagai orang lama bidang sains sukan, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz merasakan sudah tiba masanya atlet Malaysia berusaha meningkatkan tahap pemikiran masing-masing bagi menjana kecemerlangan dalam bidang yang diceburi itu.
Bagi beliau, kekurangan ‘keupayaan intelektual’ atau IQ di kalangan atlet Malaysia menjadi kelemahan ketara yang menjejaskan potensi mereka menjadi lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.


“Saya memandang serius tahap IQ seseorang atlet. Mengapa? Tahap IQ atlet meletakkan mereka sebagai seorang sentiasa ‘belajar’ untuk mengembangkan sesuatu tanpa perlu menunggu arahan jurulatih.
“Untuk bergelar atlet berprestasi tinggi, mereka mesti ada inisiatif untuk memperbaiki diri. Atlet yang mempunyai IQ tinggi akan dapat menilai serta-merta kelemahan mereka. Atlet yang mempunyai IQ tinggi ini terdiri daripada mereka yang suka mencari ilmu, suka bertanya, suka menganalisa serta ada sikap suka membaca buku, jurnal dan bahan bacaan,” katanya sewaktu ditemui di pejabatnya di Institut Sains Sukan (ISN) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ramlan menganggap Tan Sri Dr M Jegathesan wajar dijadikan contoh. Bekas pelari pecut negara dan pemenang tiga pingat emas Sukan Asia 1966 itu memiliki IQ tinggi dan tahu apa yang perlu dilakukan ketika zaman kegemilangannya.

“Sewaktu menjadi doktor perubatan skuad hoki Malaysia dan Chef de Mission Malaysia ke Sukan Olimpik Athens 2004, saya bertanya bagaimana beliau berlatih, berehat dan apakah wujud sains sukan ketika itu? “Jawapan yang diberikan ialah: 'Ramlan, zaman saya tiada sains sukan tetapi tetapi apa saja yang saya lakukan di trek setiap hari adalah sains sukan. Saya akan pastikan diri saya tidak membuang masa begitu saja dan saya sering bercakap dengan pelbagai jenis manusia untuk mendapatkan ilmu. Sekurang-kurangnya sebuah buku pasti ada dalam beg saya,” katanya.
Ramlan berkata, beberapa pemain hoki kebangsaan yang pernah bersamanya sebelum ini seperti Brian Jayhan Siva, Kelvin Fernandez, S Kuhan, Norsaiful Zaini, Arul Selvaraj dan Chairil Anwar Abdul Aziz memiliki karakter dan IQ yang dikategorikan sebagai bijak.


“Sekalipun ada di antara mereka bergelar doktor dan jurutera, mereka adalah jenis pemain yang suka bekerja-keras meningkatkan permainan mereka. Sesi latihan sudah berakhir, lampu stadium sudah dipadamkan namun Kelvin masih mempunyai soalan mengenai taktikal dan teknikal. Arul jenis suka menganalisa video bagi meningkatkan permainan sementara Kuhan berlatih bersendirian membuat pukulan sudut selama lebih sejam tanpa arahan jurulatih. Chairil dan Norsaiful tidak cepat berpuashati dan ada keberanian bertanya soalan jika ada sesuatu tidak kena dengan pasukan,” katanya.

Bercakap mengenai kepentingan IQ tinggi dalam sukan lain, aspek itu antara yang perlu diterapkan dalam mentaliti atlet pada setiap masa.


“IQ penting kerana ia menjadikan atlet dapat mencapai potensi terbaik dalam sukan dan pendidikan. Jika tabiat itu ada dalam diri dan suka bertanya apabila tidak faham dan mempraktikkannya, saya yakin atlet menjadi cepat matang, ada karakter dan memiliki tahap psikologi lebih tinggi. Bakat mereka berkembang lebih baik sekiranya ada IQ yang baik kerana mampu menyerap bebanan latihan, saingan dan jangkaan lain yang lebih tinggi,” katanya.


Selain itu, Ramlan berkata, sikap suka mengharapkan undian mudah menghadapi perlawanan perlu dikikis.


“Kita sering bercakap, kita dapat laluan mudah hinggalah bertembung pada suku akhir atau separuh akhir, saya rasa ini bukan satu sikap bagus untuk diteruskan.


“Untuk berjaya, kita perlu menewaskan semua pencabar tidak kira apa peringkat, bukan menunggu peringkat tertentu atau mengharapkan lawan mudah. Saya rasa peninju terkenal, Muhammad Ali tidak ada berfikir seperti itu. Dia sanggup menentang siapa saja lawannya dan sentiasa mahu menjadi nombor satu.” Bagi Ramlan, resipi kejayaan seseorang atlet bergantung kepada diri mereka sendiri dan yang lain sebagai sokongan semata-mata.


“Saya tidak rasa resipi kejayaan itu boleh didapati seperti sebuah buku masakan yang boleh dicuba semua orang kerana setiap orang ada cara mereka tersendiri dan IQ adalah faktor utama membezakannya. Jadi, atlet mesti meningkatkan IQ mereka jika mahu berjaya kerana tiada orang akan datang kepada anda memberitahu, awak mesti buat ini untuk menewaskannya kerana pihak lawan akan ada strategi mereka untuk mengatasi anda sama ada sebelum atau selepas perlawanan,” katanya

No comments

FIT CAMP (Team Building) 2015

JADIKAN TV BIASA-BIASA ANDA KEPADA TV PALING CANGGIH TAHUN 2019