blog di taja oleh:

blog di taja oleh:
klik gambar

Ibarat Sireh Pulang Ke Gagang

Tanggal 15 Januari 2020 merupakan tarikh bersejarah juga buat diri saya apabila diberikan penghormatan oleh warga SMK Semerah, Batu Pahat, Johor Darul Takzim untuk merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah dan Penutupan Acara Merentas Desa kali Ke 47.

Dari kiri: Tn Hj Sohari Rusland, YDP PIBG, Tn Hj Shidan Ramli, Pengetua Cemerlang, Zack Zaihan, Tn Hj Zainuddin Basiran, GPK Pentadbiran dan En Salamat Ma'eraj, GPK Kokurikulum.
2 minggu sebelumnya saya dihubungi oleh Tn Hj Zainuddin Basiran, Guru Penolong Kanan Pentadbiran SMK Semerah. Beliau memaklumkan kepada saya bahawa pihak pengurusan sekolah ingin menjemput saya untuk menjadi perasmi bagi majlis tersebut.

Saya diiringi Tn Hj Zainuddin, Guru Penolong Kanan Pentadbiran SMK Semerah.
Katanya, saya diangkat sebagai salah seorang ikon sekolah yang pernah menerima Anugerah Olahragawan Sekolah pada 1997 atas penglibatan saya dalam sukan bolasepak mewakili sekolah, daerah Batu Pahat dan negeri Johor.

Justeru, pihak sekolah berharap agar saya dapat hadir memberikan semangat untuk adik-adik junior saya terus cemerlang dalam sukan dan juga pelajaran.

Tanpa berfikir panjang, saya terus bersetuju untuk hadir ke sekolah yang telah saya tinggalkan lebih 20 tahun lalu.

Sehari sebelum acara, saya masih di rumah di ibukota dan masih selsema dan sedikit demam. Walaupun pada perkiraan awal saya berniat untuk membatalkan hasrat saya menghadiri majlis tersebut lantaran kesihatan yang agak tidak mengizinkan.

Tetapi, apabila sahabat sekelas saya semasa di sekolah ini iaitu Cikgu Siti Idayu Bakri yang menjadi tenaga pengajar di sekolah ini menghantar gambar banner acara yang telah dinaikkan memaksa diri saya untuk segar kembali.
Banner / kain rentang majlis yang sudah tersergam sehari sebelum acara.
Pagi itu, saya diiringi 3 orang Ketua Kampung merangkap Pengerusi MPKK berdekatan iaitu Tok Nadim, KK Pekan Semerah. Tok Mohd Zairi, KK Semerah Darat dan Tok Faisal, KK Parit Kuda.

Setibanya saya di sekolah, kami disambut meriah oleh guru-guru dan anak-anak.

Dari kiri : Cikgu Siti Idayu Bakri (rakan sekelas SPM 1997) dan Cikgu Salamat Ma'eraj (guru kelas Tingkat 1, 1993)
Pertama sekali kami dibawa untuk melawat sekitar kawasan sekolah. Ia terus menggamit kenangan apabila melihat bangunan lama yang menjadi kelas dan makmal saya masih tersergam gagah mendidik anak-anak di sini.

Bersama Tn Hj Zaini Othman, Guru Disiplin yang selalu memberi aku 'last warning', kini masih Guru Disiplin. Terima kasih kerana menjadikan aku seorang manusia.
Walaupun terdapat juga bangunan-bangunan baru, kenangan kelas-kelas yang pernah menjadi bilik belajar kami terus menaikkan seri memori di minda saya.

Kemudian, kami dibawa pula menziarahi bilik Tn Hj Shidan bin Ramli, Pengetua Cemerlang SMK Semerah. Kami mendengar sedikit taklimat tentang perkembangan sekolah termasuk mengenai prestasi terkini sekolah dalam sukan dan akademik.

Bersama Tn Hj Shidan bin Ramli, Pengetua Cemerlang SMK Semerah di bilik Pengetua.
Saya turut berbangga apabila mengetahui bahawa pada tahun 2019, sekolah ini adalah diantara sekolah terbaik dalam pencapaian akademik di kalangan sekolah luar bandar negeri Johor.

Selepas itu, kami terus ke pentas di Dewan Terbuka SMK Semerah untuk memulakan acara.







Melihat adik-adik ceria dengan kemenangan masing-masing menjadikan saya bersemangat untuk membantu memajukan sukan di sekolah ini. Diantara projek sukan sekolah yang telah diatur adalah sukan Softball dan Kriket.

Selesai acara kami mengambil gambar kenangan dan saya diberikan cenderamata.



Terbang selisih si burung kedidi,
Terbang berduyun di waktu pagi,
Terima kasih daun keladi,
Lain tahun jemput saya lagi.

Zaihan Zainal,
Putrajaya, 
17/01/2020, 10:34 Hrs















No comments

FIT CAMP (Team Building) 2015

JADIKAN TV BIASA-BIASA ANDA KEPADA TV PALING CANGGIH TAHUN 2019