blog di taja oleh:

blog di taja oleh:
klik gambar

Kenali Zack Zaihan Zainal

PENGENALAN

Zaihan Zainal adalah anak kelahiran Kluang, Johor yang dilahirkan pada bulan April tahun 1980 dengan daftar Jabatan Pendaftaran Negara sebagai MOHD ZAIHAN M ZAINAL yang kemudiannya dibesarkan di Kg Pasir Wardiburn, Setapak, Kuala Lumpur sehingga berumur 10 tahun sebelum ayahanda membuat perancangan untuk memulakan kehidupan baru di kampung halamannya di Johor.

Sambut Hari Lahir Ke 3 Tahun (1983)


LATAR BELAKANG PENDIDIKAN

Mendapat pendidikan awal di SRK Kolam Ayer Panas, Setapak (1987-1990), SRK Peserian (Inggeris), Semerah (1990-1992) dan melanjutkan pelajaran peringkat menengah di SMK Semerah (1993-1997).

Gambar Kelas Darjah 3, SRK Jalan Ayer Panas, Setapak, Kuala Lumpur (1989)


Gambar Kelas Darjah 6 di SRK Peserian, Semerah, Batu Pahat, Johor Darul Takzim (1992)

Gambar Kelas Tingkatan 1 di SMK Semerah, Batu Pahat, Johor Darul Takzim (1993)

Gambar Kelas Tingkatan 5B di SMK Semerah, Batu Pahat, Johor Darul Takzim (1997)


Sepanjang bersekolah di SMK Semerah, Batu Pahat, Johor, Zaihan Zainal tidak banyak masa berada di sekolah kerana sering berada di luar untuk sesi kem latihan bolasepak peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.


Selain daripada mewakili daerah Batu Pahat, saya turut mewakili negeri Johor ke peringkat kebangsaan sejak tingkatan 2 hingga tingkatan 5. Di atas pencapaian tersebut, saya turut dianugerahkan dengan galaran Anugerah Olahragawan Sekolah pada tahun 1997.

Semasa menerima Anugerah Olahragawan Sekolah (1997)

Selepas memperolehi keputusan yang cemerlang dalam SPM, Zaihan Zainal memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma Kesihatan dan Kecergasan di Institut Teknologi MARA (kini dikenali sebagai UiTM) (1998-2000).

Habis sahaja pengajian di peringakt Diploma, saya terus melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sains (Kep), UiTM (2000-2001).

Gambar Ketika Majlis Pengurniaan Ijazah Pertama di UiTM Shah Alam (2001)

Semasa menerima Diploma Kesihatan dan Kecergasan, di UiTM Shah Alam (batch 1998)

Kini, saya meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Sains di sebuah universiti tempatan.

Justeru, ini menguatkan lagi latar belakang pendidikan dan kepakaran saya adalah dalam bidang Pengurusan Sukan, Kecederaan Sukan, Pemakanan Sukan, Kesihatan dan Kecergasan.


PENGALAMAN BEKERJA


Semasa di Fitness First, Uptown Damansara, Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan (2004)

Untuk makluman pembaca yang dikasihi, saya pernah bertugas di beberapa pusat kecergasan dan badan sukan tertentu sebagai penasihat atau perunding. 

Pada tahun 2001-2003 pernah berkhidmat di Unit Terapi Kecergasan, Institut Sukan Negara (ISN) Bukit Jalil di bawah seliaan Mr Jorg Taichmen seorang pakar terapi kecergasan daripada Jerman yang telah banyak menunjuk ajar saya dalam berhadapan dengan atlit peringkat dunia. Antara atlet peringkat dunia yang pernah diselia adalah seperti Dato' Lee Chong Wei, Azlan Iskandar, Nur Saiful Zaini, Rosman Alwie dan lain-lain lagi.

Selepas itu, saya telah mendapat tawaran bekerja di sektor swasta dalam bidang berkaitan kesihatan dan kecergasan seperti di Celebrity Fitness sebelum mendapat tawaran yang lebih baik di Fitness First. Di sana saya telah menjadi pakar rujuk untuk kes-kes ahli yang menghadapi kecederaan atau untuk mendapatkan khidmat nasihat dan program rehabilitasi selepas pembedahan orthopedik.

Sedang saya meniti hirarki posisi di Fitness First, tawaran menjadi Jurulatih Kecergasan merangkap Ahli Terapis Sukan untuk pasukan Bolasepak PKNS FC tidak saya lepaskan walaupun dalam masa yang sama mendapat tawaran biasiswa daripada universiti tempatan untuk program pensyarah muda di sebuah universiti di Australia. 

Bersama dengan pasukan PKNS FC sebagai Pegawai (2005)

Sebenarnya memang menjadi idaman saya sejak dahulu lagi untuk bekerja secara langsung dalam industri sukan prestasi tinggi secara professional terutama sukan bolasepak yang sangat saya cintai.

Pengalaman bermain bolasepak sehingga ke peringkat kebangsaan sewaktu zaman persekolahan dahulu sedikit sebanyak membuatkan saya sangat menghargai kerjaya saya ketika itu. Lantaran selepas 1 musim di PKNS FC, saya memilih untuk berhijrah ke Pasukan Liga Super Selangor sebagai Ketua di Unit Rehabilitasi dan Kecergasan. 

Sepanjang berada di Selangor (FAS), antara tugasan saya adalah memastikan setiap pemain adalah dalam keadaan 100% cergas sebelum diberikan kelulusan untuk turut serta dalam latihan bersama pemain-pemain yang lain. Menguruskan pemain-pemain yang bertaraf bintang dalam pasukan seperti Selangor bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh dipandang enteng.


Dalam kesibukan menghadapi tugas harian di FAS, saya tidak pernah membataskan tugasan saya hanya untuk memastikan kesiapsiagaan pemain-pemain Selangor dalam keadaan ‘tip-top’. Malah saya sering muncul dalam program-program berkaitan sama ada di kaca TV mahupun di akhbar dan majalah. 


Muncul di majalah-majalah tempatan untuk slot Kerjaya

Semasa bersama dengan pasukan Selangor beberapa tahun, saya turut pernah memenangi medal Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Perdana. Dan pencapaian tertinggi di peringkat dunia adalah semasa pasukan Selangor layak ke peringkat Suku Akhir, Piala AFC (2006).



Sambil itu, saya juga mengambil kesempatan untuk berkongsi pengetahuan berkaitan sukan khususnya bolasepak di majalah Arena Bolasepak (ABS) keluaran Karangkraf Sdn Bhd pada tahun 2006-2009. Majalah ini merupakan sebuah majalah berkaitan sukan bolasepak dalam Bahasa Melayu yang pertama di Malaysia. 

Malah secara sejarahnya, majalah ini telah bertapak sejak akhir tahun 1980-an lagi. Akan tetapi ia telah dihentikan penerbitannya oleh Karangkraf pada akhir tahun 2009 diatas sebab-sebab yang tidak dimaklumkan walaupun ketika itu, jumlah pembaca dianggarkan mencecah 20,000 setiap bulan. Malah saya diberi peranan menulis berkaitan kecergasan dalam kolum ABS Cergas dan pernah juga menulis khus berkaitan kecederaan di ruangan Klinik ABS dalam majalah dwi bulanan ini.


Selepas meninggalkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada tahun 2009, saya telah bergerak ke serata tanah air untuk mempromosikan cara hidup sihat bersama beberapa jabatan kerajaan dan organisasi bukan kerajaan (NGO) seperti Jabatan-jabatan Kesihatan Negeri, Pejabat Kesihatan Daerah, Kementerian Belia dan Sukan dan segala Jabatan dan Organisasi dibawahnya, World Health Organization dan lain-lain.


MENCEBURI BIDANG PERNIAGAAN

Selain itu, pada 2010 saya mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan bersama dengan isteri-isteri saya. Kami membuka sebuah syarikat untuk membuat lampin moden jenama kami sendiri.

Idea memulakan perniagaan ini bermula apabila saya melihat isteri saya mula menjual lampin moden jenis fabrik yang boleh dibasuhkan semula. Masa itu, isteri menjual produk yang beliau import daripada Canada dan US.

Masa itu, sehelai lampin dijual pada pengguna di Malaysia sehingga berharga RM80-140 bergantung kepada kualiti dan jenis.

Justeru, selepas membuat bacaan dan kajiselidik saya mendapati nilai bisnes lampin waktu itu adalah RM2.3 Billion setahun. Dan angka itu menjadi titik tolak untuk saya meneroboskan diri untuk memulakan perniagaan pembikinan lampin moden jenama kami yang dikenali sebagai BIZMOM.


Lampin Moden BIZMOM boleh dibasuh dan digunakan semula (2010)

Lampin moden yang kami perkenalkan ini mendapat perhatian ibu-ibu moden khususnya di bandar-bandar utama. Alhamdulillah melalui channels blog dan juga facebook ketika itu kami memperoleh RM1 Juta pertama selepas 3 bulan produk ini dilancarkan.

Kejayaan terbesar kami adalah apabila produk kami dapat menembus pasaran di beberapa negara lain termasuk Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand, Morocco dan UAE.

Sehingga hari ini saya masih terhutang budi kepada YAB Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir semasa beliau menjawat jawatan Timbalan Menteri MITI yang banyak membantu saya ketika proses mengeksport produk ini.


Bersama Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, di Pejabat Timbalan Menteri MITI (2013)


ANUGERAH

Dr Mohd Noorazam Abd Razak bersama Pingat Perak yang kami terima untuk produk The FLEXi Ice Bag dari IIENA, Nuremburg, Germany.

Selain itu, saya turut pernah memenangi anugerah Pingat Perak melalui produk inovasi yang dikenali sebagai The FLEXi Ice Bag. Anugerah peringkat antarabangsa ini dimenangi di IIENA, Nuremburg, Germany pada tahun 2009. Produk ini adalah hasil kerjasama saya dengan Dr Mohd Noorazam Abdul Razak dan Prof Madya Dr Anuar Suun dari UiTM.
Zaihan Zainal dan Dr Mohd Noorazam bersama produk inovasi meraka yang dikenali sebagai The FLEXi Ice Bag yang memenangi Pingat Perak Pertandingan Rekacipta Peringkat Antarabangsa (IIENA, Nuremburg, Germany,  (2009)


MINAT DAN HOBI

Setiap orang pasti ada minat dan hobi masing-masing. Manakala, saya meminati pelbagai jenis sukan dan kini saya begitu obses dengan sukan berbasikal. Saya mula-mula begitu fokus dengan sukan berbasikal adalah bermula pada tahun 2012.

Saya bersama basikal MTB jenama Giant Talon 29er (2013)

Ketika itu, ramai kawan-kawan saya mula mengayuh basikal gunung atau MTB. Jadi, mahu tidak mahu saya turut terjebak dengan sukan ini. Daripada pengayuh secara sosial, saya mula menceburi sukan MTB dengan lebih serius. Ada satu ketika sekitar 2015 saya berada di kedudukan 50 teratas rider tempatan.

Pelbagai jamboree dan race MTB serata Malaysia saya sertai. Ketika itu, saya mula berkenalan dengan ramai kenalan baru.


Selain daripada sukan berbasikal, saya turut meminat sukan motorsports khususnya kereta Perodua convert GINO. Gino merupakan model asal kereta Kelisa di bawah Daihatsu di Jepun.


OIeh kerana terlalu minat dengan kereta GINO ini, saya telah membeli 2 buah kelisa semata-mata untuk saya membikinnya daripada 'scratch' sehingga menjadi sebuah Daihatsu Gino. Sebuah dilengkapi dengan enjin YRV Turbo (R) 1.3 Shiftronic dan sebuah lagi dengan enjin N/A (tanpa turbo) Toyota Storia 1.3 Shiftronic.



JADI YOUTUBER?

Saya juga mempunyai channel youtube sendiri sejak 16 Januari 2013. Jadi, ini adalah tahun ke 7 saya dalam dunia youtuber. Walaupun sudah 7 tahun mempunyai akaun Youtube sendiri, hanya pada tahun 2017 saya memulakan siri vlog di channel Youtube Zack Zaihan ini.


Channel Youtube Zack Zaihan bermula sejak 16 Januari 2013

Pengaruh menonton vlog oleh Cassey Neistat, seorang social inluencer dan youtuber yang sering memberikan inspirasi kepada anak muda menjadikan saya terpengaruh untuk mewujudkan channel youtube seperti beliau.

Sebab itu, di setiap video vlog saya mempunyai ciri-ciri seakan video Cassey. Setiap video mesti mempunyai panorama drone, ada up and down motif setiap video.


  Contoh Video Vlog Season 1

Semasa vlog musim pertama, saya berharap untuk membuat daily vlog atau video log setiap hari. Ia memaparkan video tentang lifestyle, sukan, kereta gino, berbasikal dan teknologi.

Semasa musim pertama, saya berjaya menghabiskan musim pertama sebanyak 139 episod. Kemudian, ia disambung ke musim 2 dan kini sedang dalam musim 3. Justeru, saya mohon sokongan saudara/ saudari untuk subsribe channel ini.



GERAKAN SOSIAL DAN NGO

Saya sangat aktif dalam menyertai program-program kemasyarakatan sejak di universiti lagi. Program bantuan bencana, aktivis masyarakat tidak pernah lekang daripada hidup saya.



Pelbagai organisasi yang saya sertai sejak zaman universiti. Kini, saya merupakan Setiausaha, Gabungan Penggerak Dasar Komuniti Negara KPKT Negeri Johor serta menjadi Pengerusi NGO KITAMUO dan menjadi Pengerusi, Penggerak Muafakat Daerah Muar.



Kerja-kerja kemanusiaan saya jalankan tidak hanya bertumpu kepada 1 bangsa sahaja. Malah, kami turut memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira kaum dan beragama apa. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Al Quran : 

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat siksaan-Nya. – (Q.S Al-Maidah: 2) 
Membantu golongan memerlukan tidak kira siang dan malam.

Golongan gelandangan bandar diantara mereka yang memerlukan bantuan tidak pernah saya lupa.

Semasa berucap di hadapan para tetamu untuk 1 program NGO di Johor Baharu.

Program Back to School oleh Gabungan NGO Penggerak Dasar Komuniti Negara KPKT. 

Melalui NGO-NGO ini saya dapat menyumbangkan tenaga dan wang ringgit untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan. Selain itu, saya juga merasakan melalui program-program sebegini, ia dapat memberikan peluang untuk kita terus berinteraksi dengan golongan sasaran selain ia dapat membina 'network' baru.

Itulah serba sedikit latar belakang saya. Semoga saudara-saudara boleh lah klik butang follow blog ini supaya anda dapat notifikasi setiap kali saya kemaskinikan blog saya ini.


Sekian, terima kasih.


Semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita. Insyallah.

Jazakallah…

Zack Zaihan Zainal

No comments

FIT CAMP (Team Building) 2015

JADIKAN TV BIASA-BIASA ANDA KEPADA TV PALING CANGGIH TAHUN 2019