blog di taja oleh:

blog di taja oleh:
klik gambar

Wawasan 2020 : Wawasan Kereta Terbang?

Tahun baru menjelma lagi. Cuma tahun ini agak berbeza dengan tahun-tahun yang sudah. 

Walaupun, tiap-tiap tahun baru kita menyambutnya dengan bakar mercun dan bunga api, kemudian kita juga mengucapkan selamat kepada rakan-rakan sahabat handai. Namun tahun ini agak berbeza kerana apa?

Kerana tahun 2020 ini sangat spesel berbanding tahun-tahun sebelum ini.

PERTAMA kerana tahun ini adalah tahun yang pernah kita bayangkan sebagai tahun yang sangat maju dalam tamadun umat manusia seusia kita.

Saya sendiri membanyangkan tahun 2020 ini adalah tahun yang terlalu maju ketika ia mula diperkenalkan oleh YB PM ke 4 dahulu. Masa itu, Datuk Seri Dr Mahathir Muhammad (kini Tun) memperkenalkan Wawasan 2020.

Umur saya ketika itu baru menjangkau 11 tahun.


Masa itu saya darjah lima nak masuk darjah enam. Bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Peserian, Semerah, Batu Pahat, Johor Darul Takzim.

Masih segar dalam ingatan ketika peperiksaan kelas pendidikan seni darjah 6, saya memilih untuk melukis imaginasi tahun 2020 dimana dalam lukisan saya dilukis motor dan kereta terbang. Ketika itu tahun 1992. Sudah masuk 28 tahun jaraknya.




Kini tahun 2020, umur saya sudah menjejak ke alam 'four series'. Dan kekecewaan terbesar saya adalah belum ada kereta terbang yang bebas terbang seperti geraknya kereta-kereta hari ini bertebaran di jalan raya.

Namun, beberapa bulan lalu negara digemparkan dengan isu kereta terbang bila Menteri Pembangunan Usahawan menyebut pertama kalinya di Dewan Rakyat. Ia berikutan dengan pertanyaan mengenai bajet yang dikeluarkan oleh kementerian atas inisiatif tersebut.

Bagi saya idea dan pengharapan menteri agak optimistik walaupun ramai masyarakat dan netizen masih memandang rendah akan inisiatif tersebut. 

Sebenarnya, ketika Thomas Elva Edisson cuba memperkenalkan kuasa elektrik, waktu itu juga masyarakat umum mempertawakan beliau. Nah hari ini tanpa gerak pemula dari Edisson pasti kita masih menggunakan lampu gasoline untuk menerangi malam-malam kita.


Walaupun Menteri ini ditertawakan dan dilecehkan oleh ramai orang khususnya netizen yang saya sendiri tidak pasti apakah mereka ini mempunyai kehidupan, saya tetap bersama beliau dalam cara berfikir dan sikap optimistiknya.

Beberapa tahun dulu saya pernah mengikuti kawan-kawan sekampung yang menerbangkan kapal terbang remote control sebesar kereta kancil di kawasan sawah bendang Kg Sarang Buaya, Muar.

Kapal terbang ini hanya menggunakan enjin mesin rumput dan menggunakan petrol sebagai sumber tenaganya.


Ketika itu adalah tahun 2012, kira-kira 8 tahun yang lalu, budak-budak kampung lepasan Institut Kemahiran Mara sudah membina kapal terbang kontrol sebesar kereta kancil dengan bajet yang ciput.

Jadi, apalah sangat angan-angan Pak Menteri untuk merealisasikan impiannya untuk menyaksikan industri kereta terbang di rantau Asia Tenggara ini mula diterokai oleh anak tempatan.

Bagi saya sebagai seorang usahawan dan inovator,  idea YB Datuk Seri Muhammad Redzuan Mohd Yusof, Menteri Pembangunan Usahawan untuk mewujudkan industri baru kereta terbang ini wajar dipandang serius khususnya oleh anak-anak muda.

Secara tidak lansung idea yang melawan arus ini bakal membuka banyak peluang. Ya peluang keushawanan, peluang-peluang pekerjaan dan peluang menambah pengetahuan dan teknologi.

Dengan Kehendak Allah SWT, saya sangat percaya 10 atau 20 tahun akan datang kereta terbang bukanlah sesuatu yang maha mustahil lagi sebagaimana bukan mustahilnya besi yang lebih berat beribu ton pun sudah terbang di udara seawal kurun ke 19 lagi.

Penerbangan pertama bagi sebuah kapal terbang telah direkodkan diterbangkan oleh Wright Flyer pada 17 Disember 1903 di North Carolina, USA.


Adik beradik Wright iaitu Wilbur dan Orville mulai projek pembinaan kapal terbang ini sejak 1899 lagi sehingga terbinanya model pertama kapal terbang ringan The Wright Flyer seperti dalam gambar ini.

Penerbangan pertama mereka hanya bertahan 12 saat di pantai Kitty Hawk, North Carolina, USA merupakan penerbangan pertama dalam sejarah aviasi dunia. Manakala, penerbangan kali keempat pula hanya bertahan 59 saat.

Sebelum itu, mereka sering ditertawakan masyarakat dan mereka menganggap idea adik beradik Wright ini sebagai gila sebagaimana ramainya netizen mentertawakan idea YB Menteri Pembangunan Usahawan ini.

Dan kalau bukan disebabkan kesungguhan Wilbur dan Orville Wright ini sudah tentu sampai hari ini kita masih tidak merasa menaiki kapal terbang dengan selamat.

Segala kejayaan dunia penerbangan dan industri aviasi hari ini bermula dengan adik beradik Wright yang tak malu melawan gelakan dan jelekan masyarakat awal 1900 dulu.

Maka, saya berharap YB Menteri akan terus teguh dan bertahan dengan idea gila beliau  untuk membangunkan industri kereta terbang di rantau ini.

Dan sebagai seorang usahawan saya mempelawa mana-mana kawan-kawan yang mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam industri aviasi dan automotif untuk turut sama menjayakan idealisme YB Menteri Pembangunan Usahawan ini.

Kejayaan tidak akan hadir tanpa langkah pertama.

Cerana kesumba indah melati,
Cantik tersemat dambaan puteri,
Ilmu ditimba sepenuh hati,
Kekuatan umat minda bestari.

Sekian, terima kasih dan tidak terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru.


Zaihan Zainal
Putrajaya, 19:22, 6/01/2020

No comments

FIT CAMP (Team Building) 2015

JADIKAN TV BIASA-BIASA ANDA KEPADA TV PALING CANGGIH TAHUN 2019