blog di taja oleh:

blog di taja oleh:
klik gambar

Bermasyarakatlah Seperti Orang Sungai Balang

Minggu lepas saya bersama beberapa NGO lain meraikan masyarakat Cina di DUN Sungai Balang di Pekan Baru Parit Yusof, Muar Johor.


Majlis turut dihadiri oleh YB Ng Yok Howe, ADUN Bentayan, pemimpin-pemimpin tempatan yang lain. Selain itu, Tok Mohd Izammudin, Ketua Kampung Parit Subari turut hadir memberikan sokongan.


Saya tertarik untuk berkongsi bagaimana mesra, akrab dan aman sahaja perhubungan diantara masyarakat yang pelbagai kaum, agama dan bahasa di kampung kami.

Sebelum itu eloklah kalau saya menulis sedikit latar belakang Sungai Balang ini.


SEJARAH SUNGAI BALANG


Sejarah pembukaan Sungai Balang bermula dengan perlantikan seorang tokoh agama bertaraf ulama iaitu Ali Said yang berasal dari Parit Sakai sebagai Orang Kaya oleh Sultan Abu Bakar pada tahun 1886. 

Ali dihantar oleh ayahandanya Orang Kaya Said iaitu penghulu pertama Muar yang dilantik oleh Temenggung Ibrahim. Ali ke Tanah Suci Mekah untuk belajar agama dan berjaya manamatkannya pengajian di Mekah ketika berusia 15 tahun. 

Ketika itu, penduduk Padang yang pentadbirannya berpusat di Parit Bakar dan meliputi Parit Sakai hingga ke Parit Samsu mempunyai sebuah rumah wakaf di Mekah yang didirikan di Kampung Shuib Ali pada abad ke-19.


Orang Kaya Ali pulang ke Padang selepas ayahandanya Orang Kaya Said meninggal dunia di Mekah. Beliau kemudian menuntut jawatan Penghulu Muar yang dipangku oleh sepupunya bernama Omar Junid semasa ketiadaan ayahandanya Allahyarham Orang Kaya Omar. Bagaimanapun permintaan itu ditolak oleh Sultan kerana usia Ali masih muda dan belum boleh memegang jawatan penghulu.

Bagi mencari jalan penyelesaian, Sultan telah melantik Ali sebagai menteri. Namun begitu, perlantikan itu tidak memuaskan hati Ali serta pengikutnya kerana jawatan berkenaan tidak memberi erti dalam pentadbiran Wilayah Muar. 

Berikutan itu,timbul perselisihan di antara pengikut Ali dan penyokong Omar.

Bagi mengelakkan pertumpahan darah, Sultan memberi perkenan kepada pengikut Ali untuk membuka sebuah kawasan baru di selatan Muar bagi membolehkan Ali dilantik menjadi penghulu. 

Pengikut Ali membuka sebuah perkampungan dan menanam pelbagai pokok durian,ubi keledek dan bersawah padi. Lama-kelamaan kawasan perkampungan yang baru dibuka itu gah dan Ali bersama pengikutnya menyusur pantai Selat Melaka yang banyak dengan lanun untuk mengadap Sultan bagi mempersembahkan hasil tanaman.

Nama ‘Sungai Balang’ diabadikan daripada ilham Sultan apabila pengikut Ali yang membuka kawasan baru itu berjaya menghapuskan lanun di Selat Melaka untuk membawa persembahan hasil pertanian melalui pantai di Johor Bahru dengan selamatnya.

Keberanian Ali dan pengikutnya menentang lanun di Selat Melaka dianggap sebagai kegagahan yang dicapai oleh hulubalang. Daripada perkataan ‘hulubalang’ inilah lalu Sultan menitahkan kawasan baru itu diberi nama Sungai Balang hingga ke hari ini.

Antara kesan sejarah yang masih kekal di Sungai Balang ialah Makam Orang Kaya Ali di tanah perkuburan Islam di pekan itu dan sekolah rendah di kampung itu yang diberi nama Sekolah Kebangsaan Orang Kaya Ali bagi mengambil nama sempena orang pertama membuka Sungai Balang.

KEPELBAGAIAN MASYARAKAT DI SUNGAI BALANG

Kami di Sungai Balang telah hidup sekian lama dengan pelbagai kaum, agama dan rencam dalam soal makan dan minum juga adat. Tetapi, kami sentiasa menghormati hak masing-masing dalam mengamalkan cara hidup.


Kami tidak pernah tercuriga oleh sebab kaum dan agama yang berbeza. Malah, orang-orang di DUN Sg Balang ini mengambil kepelbagaian dalam kehidupan ini sebagai pemankin untuk mengenal diantara satu dengan yang lain dengan lebih baik lagi.

Disebabkan kehidupan majmuk sejak zaman nenek dan moyang kami tidak pernah berperasangka buruk diantara satu sama lain. Malah, terkadang biasa sahaja kita dengar jiran berbangsa Melayu hantar makanan dan masakan kepada jiran berbangsa Cina.

Dan khusus di musim perayaan Tahun Baru Cina, selalu sahaja mak saya menerima pelbagai pemberian dan ang pow daripada jiran-jiran berbangsa Cina.


Lantaran beberapa bulan terkebelakang ini, ada sesetengah pihak mengambil kesempatan untuk menghuru harakan kehidupan dalam kemajmukan selama ini. Kita sedar mereka terpaksa bermain api perkauman ini semata-mata untuk memperolehi matlamat politik.

Tetapi, kami masyarakat di DUN Sg Balang tidak penah merasa kehangatan tersebut. Orang Melayu masih berduyun-duyun berbelanja di Kedai Musang, Pekan Sg Balang. Begitu juga, apek-apek dan nyonya tetap ke gerai-gerai goreng pisang, rojak, mee bandung orang Melayu.

Dan saya berharap semangat orang-orang Sungai Balang ini dapat juga dibawa ke luar. Dan diharap juga rakyat Malaysia secara amnya tidak akan pernah termakan dengan hasutan berbaur rasis dan pragmatis.

Sebagai anak Sungai Balang, aku berbangga untuk Abah, Atuk dan Moyang yang berasal dari Sungai Sudah di bawah DUN Sungai Balang.


No comments

FIT CAMP (Team Building) 2015

JADIKAN TV BIASA-BIASA ANDA KEPADA TV PALING CANGGIH TAHUN 2019